Anekdot Amerika dan Tembok Berlin

Urwah Saari

Urwah Saari

AUSPICE Malaysia

Dunia heboh pada 9 November lalu, ketika semua tertumpu kepada keputusan pilhanraya Presiden Amerika Syarikat yang menyaksikan calon kontroversi Republikan, Donald Trump menyanggah tinjauan awal untuk memenangi perebutan presiden dengan Hillary Clinton. Pelbagai analisa dan rumusan dibuat oleh pelbagai pihak, pakar ekonomi dan politik, sehingga rakyat bawahan di kedai kopi. Polarisasi sokongan yang ketara di seluruh Amerika Syarikat, berbasiskan sentimen kempen Trump yang penuh prejudis, xenofobik dan kebencian; menimbulkan persoalan samada negara yang sering mendakwa polis dunia dan jaguh demokrasi itu sedang menuju ke arah negara yang rapuh atau lemah.

mezzanine_075Mengimbas kembali, 9 November juga merupakan tarikh penting dalam sejarah pergolakan Perang Dingin (Cold War). ‘Kedinginan’ yang mula mencair pada tahun 1989 itu, rentetan runtuhnya Tembok Berlin, mercu pertembungan idealogi sepanjang hampir 40 tahun. Keruntuhan ini disimbolikkan dengan pengumuman East German Communist Party yang membenarkan warga German Democratic Republic (GDR) yang dipisahkan di bahagian Berlin Timur untuk menyeberangi tembok berkawad duri konkrit Antifascistischer Schutzwall ke bahagian Berlin Barat.

Jerman dalam lipatan sejarah Perang Dunia Kedua tidak dapat dipisahkan, lantas diingati sebagai tragedi kemanusian yang paling besar di dalam lipatan sejarah dunia. Memulakan perang, kekejaman Nazi dengan holocaust, menguasai Eropah dalam tempoh singkat, dikalahkan dalam perang dengan kejatuhan Third Reich di kota Berlin yang hangus merupakan titik-titik penting dalam sejarah abad ke-20 bagi negara Jerman.

Seusai dikalahkan dalam Perang Dunia Kedua dalam tahun 1945, bangsa Jerman tidak mampu untuk pulih dan terus menikmati keamanan, tidak seperti Jepun yang dihancurkan di Nagasaki dan Hiroshima. Persaingan 2 blok kuasa idelogi dunia antara kuasa Perikatan khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet menghimpit Jerman di dalam sandwich idelogi. Jerman Barat dan Jerman Timur dipisahkan oleh sempadan geografi ciptaan manusia yang berkongsi budaya dan bahasa yang sama di kota Berlin.

Penyatuan bangsa Jerman, bermula dengan keruntuhan Tembok Berlin, mengakhiri pemisahan hubungan sesama manusia disebabkan idealogi politik, sehingga kini Jerman diiktiraf sebagai salah satu kuasa politik dan ekonomi dunia. Tahap demokrasi dan hak asasi juga meningkat. Malahan Angela Merkel, Canselor Jerman juga antara yang terawal menawarkan perlindungan kepada pelarian-pelarian dari krisis Syria.

Amerika Syarikat kini di persimpangan lagi, itupun tidak berapa lama selepas kejayaan gerakan hak civil “civil right movement” abad 20 lalu memperjuangkan hak samarata bagi warga bukan kulit putih, hakikatnya negara tersebut masih lagi di lambung dengan falasi hirarki keturunan dan kaum.

Pemenang hadiah Nobel, Paul Krugman menyatakan kebimbangan bahawa negara itu kini mungkin sebuah negara yang gagal “failed state and society”.

Mungkin Jerman wajar menjadi guru kepada Amerika, dalam mengajar erti membangunkan tamadun manusia.